Tuesday 11 December 2012

Sekadar Renungan

Pemikiran segelintir Bangsa kita.

  1. Di zaman pemerintahan Tun Mahathir, pelbagai kejayaan, kemajuan dan pemodenan yang telah dicapai. Segala pencapaian ini menjadikan Malaysia dikenali di peta dunia. Ia menjadi semangat dan kejayaan bersama.
  2. Salah satu pencapaian yang membanggakan seperti seorang anak Melayu (Malek) telah berjaya berenang 58 km menyeberangi Selat Inggeris. Percubaan ini bermula 4 tahun sebelumnya. Bukan sahaja latihan dan disiplin diri yang terpaksa dibuat, tetapi tekanan mental kerana masalah kewangan dan sokongan moral yang tidak sebegitu. 
  3. Ramai yang tidak yakin dan tidak percaya Malek akan lakukan renangan ini, jauh sekali berjaya. Namun dia tidak putus asa, tabah hati dan kekal dengan cita- cita besarnya. Begitu juga dengan Dato' Azhar apabila dia bercadang untuk belayar seorang diri mengelilingi dunia.
  4. Semasa berenang di Selat Inggeris dengan suhu yang sejuk, gelombang yang tinggi, arus yang deras, tekanan ke atas semangat dan pemikiran tentulah tinggi. Tentulah ada perasaan untuk berhenti menyeksa diri dan naik sahaja bot yang turut sama. Hanya semangatnya menghalang dirinya daripada mengambil jalan yang mudah. Renangan yang sepatutnya 32 km telah menjadi 58 km kerana arus yang kuat. Semangat Malek tidak luntur. Tiap satu minit dia kuak hampir 60 kali selama 18 jam. Namun dia sanggup meneruskan sehingga sampai ke Pantai Perancis.
  5. Ini adalah satu cabaran yang amat besar yang dia sendiri memilih untuk mengatasi dan dia mengatasi dengan jayanya dan mengharumkan nama bangsa, agama dan negaranya di samping nama dirinya sendiri.
  6.  Di samping itu, Dato' Azhar berjaya belayar seorang diri mengelilingi dunia dan kembali ke tanah air ramai yang tertanya-tanya bagaimana dia berjaya menghadapi cabaran sebesar ini. Sudah tentu Malek juga akan ditanya bagaimana.
  7. Tun kecewa apabila ada segelitir orang Melayu termasuk golongan muda yang bertanya kepada Azhar "Apa ilmu yang beliau pakai?" Maksud ilmu yang ingin diketahui ialah ilmu ghaib, ilmu yang diselit dengan doa tertentu yang kononnya akan menjamin kejayaan. Mereka ingin tahu ilmu ini supaya dengan mudah mereka juga boleh menghadapi cabaran dan berjaya. Sikap mereka adalah sama dengan orang yang menuntut ilmu kebal yang kononnya akan membolehkan mereka menangkis tikaman dan peluru. Dengan itu mereka berani.
  8. Tidak ada ilmu kebal, tidak ada ilmu ghaib yang boleh menjamin kejayaan. Tun M sudah banyak kali menyedarkan kita, orang Melayu, yang semuanya beragama Islam, yang berpegang kepada Al-Quran dan hadis tentu tahu Nabi sendiri terpaksa melalui cabaran demi cabaran, aneka jenis ujian dan kegagalan sebelum Baginda mencapai kejayaan. Dan Nabi sendiri tidak kebal. Di Jabal Uhud Baginda cedera parah.
  9. Jika manusia boleh kebal tentulah Allah s.w.t. kurniakan kepada Rasul kesayangannya kekebalan. Tentulah perjuangan Nabi mengembangkan syiar Islam dipermudahkan.
  10. Jika kita benar-benar pegang kepada hadis dan sunnah Nabi maka iman dan sifat-sifat ketekunan, keberanian dan disiplin yang ada pada Nabi tentulah dicontohi oleh kita. Kita boleh berdoa untuk dilindungi oleh Allah s.w.t. Kita boleh berdoa untuk diberi kejayaan. Tetapi Tuhan tidak menjanjikan kejayaan hanya dengan berdoa sahaja. Tuhan berkehendak kita berusaha dan membuat persediaan untuk menjayakan diri kita. Ini jugalah yang dilakukan oleh Nabi untuk mencapai kejayaan.
  11. Tun M telah menggunakan langkah-langkah dan prinsip sepertimana yang telah diajar oleh Nabi kita, dan kita mencapai segala kejayaan ini. Berusaha, berdoa dan akhirnya tawakal jika ingin mecapai kejayaan. Tun M mahu kita buang segala pemikiran-pemikiran yang boleh membuatkan kita menjadi mundur. Kita perlu ubah pemikiran kita jika kita ingin mencapai sesuatu kejayaan.

No comments:

Post a Comment