Monday 24 September 2012

Isu-isu Di Pinggiran Metropolitan



        Perkembangan pembandaran yang pesat di wilayah metropolitan Malaysia mempunyai banyak memberi impak positif dan negatifnya kepada dunia perancangan bandar ketika ini. Setiap aktiviti pembangunan yang dijalankan perlulah dirancang dengan teliti aspek yang harus dipertimbangkan terutamanya yang melibatkan aspek fizikal,ekonomi, sosial dan alam sekitar. Memang tidak dapat dinafikan lagi ketika ini, aktiviti pembangunan di wilayah metropolitan begitu rancak dijalankan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kepesatan arus pembangunan  yang melanda ketika ini banyak mengundang isu dan masalah akibat daripada kesan-kesan aktiviti  pembangunan disebabkan mengabaikan setiap aspek penting bagi perancangan di sesuatu kawasan. Perancangan yang teliti bagi setiap  wilayah metropolitan di Malaysia begitu penting dan amat diperlukan bagi mengawal aktiviti pembangunan yang rancak dijalankan supaya setiap perancangan yang ditetapkan akan lebih teratur dan tersusun.

Berdasarkan  pengetahuan saya, pada masa ini negara kita iaitu Malaysia sedang mengalami kadar pembandaran yang begitu pesat. Dianggarkan lebih 60 peratus penduduk negara pada masa kini adalah tinggal dikawasan bandar, iaitu petempatan yang didiami oleh penduduk melebihi 10000 orang. Walaupun sejarah pembandaran di Malaysia belum cukup lama berbanding dengan negara-negara Eropah, tetapi penduduk yang mendiami wilayah metropolitan kian bertambah. Wilayah metropolitan ini dirujukkan sebagai sebuah wilayah yang mengandungi sekurang-kurangnya sebuah bandaraya metropolitan  serta kawasan subbandarnya dengan jumlah penduduknya melebihi satu juta orang. Di wilayah ini , bandar utamanya merupakan sebuah bandar raya yang telah diwartakan dan ditadbir oleh penguasa tempatannya sendiri. Ia juga mempunyai populasi yang padat dari segi penduduk. Mengikut pemahaman saya, saiz penduduk bandar raya metropolitan di Malaysia belum mencapai taraf bandar raya mega seperti Bangkok, Manila dan Jakarta. Namun, sekiranya trend penumpuan penduduk bandar di negara ini berterusan seperti sekarang, dalam tempoh yang tidak lama lagi saiz penduduk bandar raya utama dan bandar besar gabungannya di Lembah Klang khususnya  akan menjejaki bandar raya lain di rantau Asia Tenggara menjadi sebuah bandar raya mega ( Lee Boon Thong 1996 ).


                                              Metropolitan Bangkok


                        

                                  Metropolitan Manila

Contoh Metropolitan di rantau Asia Tenggara.                          
Di Malaysia, perkembangan bandar raya metropolitan dan bandar-bandar besar lain telah merentasi kawasan luar bandar. Hal ini menyebabkan kawasan luar bandar di pinggiran wilayah metropolitan tersebut turut mengalami perubahan akibat pembandaran yang pesat. Sebagai contoh di negara Asia Tenggara, pembandaran desa di pinggiran metropolitan ini berlaku melalui perkembangan pengangkutan bandar yang menggalakkan mobiliti penduduk dan perkembangan guna tanah perumahan, perindustrian, perdagangan, perkhidmatan khususnya ruang pejabat, institusi pendidikan dan perniagaan runcit skala besar ke kwasan tersebut. Dengan perkembangan fungsi perkhidmatan, perindustrian, dan perumahan di kawasan pinggir bandar telah menyebabkan perpindahan masuk penduduk ke kawasan tersebut. Sebahagian daripada migran merupakan dari kawasan tengah bandar tetapi mereka telah tertarik dengan peluang pekerjaan, ingin memiliki rumah atau tapak rumah kediaman termasuk juga pusat membeli belah moden yang baru dibina dikawasan pertumbuhan baru dipinggir bandar metropolitan.

Di samping itu, perubahan citarasa pengguna terhadap pilihan tempat kediaman dan kemudahan sosial serta wujudnya persaingan gunatanah khususnya untuk tujuan kawasan kediaman dan komersil, ia juga turut menggalakkan perkembangan kawasan pinggir bandar menjadi subbandar. Perkembangan wilayah metropolitan dan subbandarnya turut memberi kesan dan impak yang besar kepada kawasan pinggirannya. Para pelabur lebih cenderung menerokai dalam sektor pembuatan dan menempatkan semula firma mereka  di pusat-pusat pertumbuhan baru yang terletak di luar kawasan wilayah metropolitan merupakan antara sebab berlakunya perubahan pesat di kawasan pinggiran metropolitan. Selain itu, perubahan landskap budaya yang dapat kita lihat melalui gunatanah daripada pertanian kepada bukan pertanian seperti perumahan, institusi, komersil, dan perindustrian juga berlaku dengan pesat. Sebahagian kawasan ini menerima penduduk malalui wilayah migrasi dari wilayah metropolitan. Migrasi penduduk dari kawasan sekitar pusat bandar utama atau wilayah metropolitan yang padat ke pinggiran metropolitan yang kurang padat juga merupakan fenomena global. Trend migrasi ini sedang berlaku di negara maju dan membangun yang sebahagiannya berkaitan dengan corak ekonomi dunia pada masa ini semakin terbuka. Beberapa faktor lain seperti keadaan yang terdapat di wilayah metropolitan mempunyai kepadatan tinggi, harga dan sewa rumah terlalu mahal, pembinaan lebuhraya pantas yang menghubungkan bandar raya dengan kawasan pinggirannya dan penawaran peluang pekerjaan serta peluang memiliki hartanah di pinggiran metropolitan. Proses perpindahan penduduk dari pusat bandar ke pinggir bandar telah meninggalkan pelbagai kesan di kedua-dua kawasan asal dan destinasi yang ingin ditujui.

Selain itu, perkembangan bandar ini juga dapat menyebabkan berlakunya fenomena rebakan bandar atau urban sprawl. Bagai cendawan tumbuh selepas hujan itulah situasi yang dapat digambarkan telah berlaku di bandar-bandar besar Malaysia kerana perkembangan bandarnya yang pesat telah menyebabkan aktiviti pembangunan terlalu rancak dibangunkan di setiap pelusuk negara. Secara tidak langsung, ini mempercepatkan lagi proses rebakan bandar di Malaysia yang merupakan fenomena yang berlaku akibat daripada pembangunan pembandaran yang pesat terutamanya ke kawasan penggiran bandar metropolitan. Sebahagiannya juga mengalami perubahan identiti kawasan dan penduduknya terpaksa menghadapi pengaruh pembandaran yang semakin meningkat terutama dalam aspek suasana kediaman, ekonomi, pekerjaan dan corak hidup.

Dari segi konteks pembangunan di Malaysia yang sedang pesat membangun sekarang ini, fenomena rebakan bandar ini semakin serius berlaku terutamanya dalam wilayah metropolitan dan bandar-bandar besar yang lain. Hal ini disebabkan, aktiviti pembangunan terlalu diberi tumpuan dalam pembangunan wilayah fizikal negara. Langkah kerajaan yang menyediakan kepelbagaian peluang-peluang pekerjaan, memenuhi permintaan rumah yang tinggi akibat pertambahan penduduk kawasan bandar dan juga menjadikan negara ke arah pembandaran yang lebih global telah mengabaikan kepentingan penduduk di kawasan pinggir wilayah metropolitan yang kini semakin dihimpit  dan dilanda arus gelombang tsunami terbesar iaitu fenomena rebakan bandar. 


                                             
Petempatan Kampung Melayu yang terletak di pinggiran bandar besar kini kian dihimpit oleh fenomena rebakan bandar


Fenomena ini banyak memberi impak dan kesan negatif terutamanya masalah alam sekitar, konflik guna tanah, ancaman kepada aktiviti pertanian dan spekulasi pasaran tanah. Rebakan bandar ini juga dapat dianggap sebagai penyelerakan gunatanah bandar secara melompat-lompat ataupun dikenali sebagai leapfrog dan scattered ( Harvey and Clark, 1995 ). Di wilayah metropolitan Malaysia, rebakan bandar ini akan menyebabkan berlakunya tekanan aktiviti pembangunan keatas penduduk yang tinggal di petempatan pinggiran wilayah metropolitan yang meliputi kampung-kampung terutamanya kampung tradisi yang telah didiami berabad tahun lamanya kini semakin lenyap dan pupus, terpisah dengan arus pembangunan, dan hilang identiti tempat tinggal. Manakala yang kekal pula akan mengalami perubahan corak sosioekonomi dan sosiobudaya. Di Malaysia, kampung yang terletak di pinggiran wilayah metropolitan merupakan symbol masyarakat luar bandar. Imej dan identitinya perlulah dikekalkan supaya tidak akan lenyap dan hilang dilanda arus pembangunan. Masalah-masalah yang timbul akibat rebakan bandar terhadap kampung pinggiran wilayah metropolitan ini ialah sosioekonomi dan kualiti hidup menjadi rendah. Sebahagian daripada penduduk juga akan menghadapi masalah pekerjaan dan tiada pendapatan yang tetap bagi menampung perbelanjaaan harian keluarga mereka. Sosiobudaya yang berlaku disebabkan sebahagian penduduk yang tertekan dan tidak boleh menerima perubahan pembangunan yang agak mendadak. Masalah sosial juga banyak berlaku di kawasan pinggiran metropolitan ini akibat kedesakan hidup yang melanda mereka.

Oleh itu, sebagai perancang bandar kita haruslah mengatasi implikasi rebakan bandar atau urban sprawl dengan pelbagai langkah dan kaedah agar masyarakat di pinggiran wilayah metropolitan dapat menikmati kualiti kehidupan hidup yang lebih baik dan selesa. Jika dilihat pada waktu, saat dan ketika ini, aktiviti pembangunan yang dijalankan ini semakin tidak mempunyai sempadannya hingga lama-kelamaan kawasan pinggiran wilayah metropolitan ini yang menunggu giliran dibawa arus gelombang tsunami pembangunan yang pesat. Kampung-kampung di pinggiran metropolitan ini mestilah dipelihara dan dikekalkan agar tidak ditelan arus pemodenan dan pembangunan bandar. Sebagai perancang bandar kita haruslah bertindak untuk mengatasi masalah ini. Sejak akhir-akhir ini, kita juga boleh lihat aktiviti pembangunan semakin rancak membangun,namun pembangunan yang dijalankan perlu dikawal dengan sempurna bagi menjamin keseimbangan antara wilayah metropolitan dan kawasan pinggiran bandar. Setiap perancangan yang dijalankan perlulah merangkumi setiap aspek fizikal, ekonomi,sosial dan alam sekitar berteraskan Doktrin Perancangan .

No comments:

Post a Comment